Friday, October 16, 2009

Kesan Bergaduh dan Bertekak Kepada Diri Sendiri



Anas Bin Malik pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah berkata, “sesiapa meninggalkan perdebatan, sedang dia berada di pihak yang benar, dibina untuknya sebuah rumah di tengah-tengah syurga.”[1] Menurut Imam Tirmizi hadith ini bertaraf hassan. Menurut Sheikh Muhammad Nasirudin Albani, seorang pakar hadith abad ke-20, hadith ini bertaraf sahih

Perdebatan biasanya akan mencerminkan ‘true color’ seseorang. Di kaca mata pihak ketiga, orang lain akan melihat bagaimana “hodoh”nya atau hebatnya akhlak mereka yang berbalah. Ada mereka yang berbalah mengikut hawa nafsu. Ada yang bersabar.

Saya mengasihani mereka yang terlibat dengan sebarang bentuk perbalahan sia-sia. Orang akan menilai akhlak kita dan meletakkan satu label negatif pada diri kita. Seterusnya akan memberi kesan kepada pergaulan dengan orang-orang di sekeliling.

Ibnu Mas’ud r.a. meriwayatkan bahwa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Orang mukmin bukan seorang pencela, bukan seorang pengutuk, bukan seorang yang keji dan bukan seorang yang berkata kotor.” [2]

Biasanya perbalahan yang sia-sia akan membuahkan kata-kata keji antara kedua-dua pihak. Lalu kata-kata keji itu akan memberi kesan kepada “status” keimanan seseorang. Seseorang yang tidak mengambil kisah tentang keimanan diri sudah tentu tidak akan memperdulikan sabda nabi ini. Berbeza dengan mereka yang begitu mengambil berat dengan sabda-sabda nabi, sepatah dua sabda sudah memadai dan dipandang serius.

Ada baiknya kita meninggalkan perbalahan sia-sia dalam semua hal. Perbalahan yang sia-sia adalah sesuatu yang tidak memberi manfaat kepada agama, baik agama diri sendiri atau orang lain. Abu Hurairah ada menceritakan bahawa Rasulullah pernah bersabda, “adalah termasuk kebaikkan pada agama seseorang, apabila dia meninggalkan sesuatu yang tidak berfaedah.” [3]
Wallahu’alam


[1] http://hadith. al-islam. com Sunan Tirmizi : 1916 (Tirmizi :hassan; Albani : sahih)
[2] http://hadith. al-islam. com Sunan Tirmizi : 1900. (Tirmizi :hassan gharib ; Albani : sahih)
[3] http://hadith. al-islam. com Sunan Tirmizi : 2239. Menurut Imam Tirmizi hadith ini bertaraf gharib.
Menurut Sheikh Albani, ia bertaraf sahih. Hadith ini juga diriwayatkan di dalam Muwatta Imam Malik dari Ali Bin Abi Talib (#1402).

0 comments:

 

My Blog List

Hello